Sultan Ibrahim Yang di-Pertuan Agong ke-17

SULTAN Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini melafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berlangsung dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-264 (Khas), di Balairung Seri Istana Negara, hari ini.

Baginda turut berkenan menggunakan gelaran nama rasmi iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Manakala, gelaran nama rasmi bagi Permaisuri Johor ialah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah turut melafaz sumpah memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Mesyuarat MRR Ke-264 (Khas) telah dipengerusikan KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Surat Sumpah Jawatan kemudian ditandatangani oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, dan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, sebagai saksi.

Sultan Ibrahim turut menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri kemudian membacakan kandungan surat perisytiharan bermulanya secara rasmi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai Ketua Negara baharu Malaysia.

Berangkat hadir ke istiadat itu, DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor dan YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Turut berangkat, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor, serta YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim dan suami, Dato’ Dennis Muhammad Abdullah serta Keluarga DiRaja Johor. – HELLO MALAYSIA

Menarik Seterunya

Berita Terkini