Tak perlu ‘apologetic’ bila bicara agenda Bumiputera – Zahid 

SEMUA pihak wajar mengamalkan sikap tidak ‘apologetic’ dalam membawa agenda Bumiputera selain tidak mengenepikan kontrak sosial yang terjalin sejak merdeka demi menjaga keharmonian negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) sebagai dasar baharu Bumiputera tidak akan meminggirkan kaum lain di Malaysia.

“Saya menekankan pentingnya tidak bersikap “apologetic” dalam membicarakan agenda Bumiputera, sambil menegaskan bahawa Bumiputera sentiasa menghormati kontrak sosial untuk keharmonian negara.

Saya mengajak semua pihak, termasuk kerajaan, agensi, pemimpin, cendekiawan, profesional, dan rakyat, untuk bersama-sama menjayakan TEB melalui Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 ini. Semoga kongres ini berjaya sehingga Sabtu ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, Ahmad Zahid ketika ucapan perasmian kongres tersebut pagi tadi berkata, TEB menekankan tiga matlamat utama untuk memastikan keterlibatan Bumiputera sambil menjaga kesalingan dengan bukan Bumiputera.

“Saya telah merasmikan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 hari ini di Dewan Plenary, Putrajaya International Convention Centre. 

“Dalam kongres tersebut, saya mengusulkan pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) sebagai dasar baru untuk menggerakkan kemajuan. TEB menekankan tiga matlamat utama untuk memastikan keterlibatan Bumiputera sambil menjaga kesalingan dengan bukan Bumiputera.

“Saya mencadangkan pemerkasaan MARA di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera untuk menyelaraskan usaha-usaha pengupayaan Bumiputera di semua peringkat. Unit Pemerkasaan Bumiputera di Kementerian, agensi, GLC, dan GLIC juga perlu diaktifkan semula.

“Untuk mencapai matlamat tersebut, saya menetapkan Enam Tekad sebagai rukun bagi kita semua, dan mengusulkan Tiga Ikhtiar Pemerkasaan Bumiputera,” katanya. – HELLO MALAYSIA

Menarik Seterunya

Berita Terkini