PRN Sabah bila-bila masa boleh diadakan – Hajiji 

PENGGAL pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH), GRS-PH Plus sah sehingga September 2025, kata Datuk Seri Hajiji Noor.

Bagaimanapun menurut Ketua Menteri Sabah itu Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh diadakan selepas tamat tempoh penggal atau boleh diadakan pada bila-bila masa.

“Itu pun bergantung kepada Ketua Menteri, kalau-kalau diberi petunjuk atau ilham, untuk mengadakan PRN lebih awal daripada tempoh yang sepatutnya,” katanya dipetik BH Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat dan Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan Tahun 2024 di Kota Kinabalu, hari ini.

Pada masa sama, Hajiji mengakui kepentingan meraih sokongan penuh penjawat awam sama ada di peringkat negeri mahu pun Persekutuan dalam menentukan kerajaan negeri Sabah pada PRN nanti.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua penjawat awam atas kerjasama dan sokongan terhadap dasar kerajaan negeri di bawah pimpinannya, selama tiga tahun ini.

“Perkhidmatan awam adalah sebahagian daripada jentera kerajaan, di sinilah letaknya nadi atau jentera yang menggerakkan sistem penyampaian kerajaan.

“Cepat atau lambat, efektif atau kurang efektif, efisien atau pun tidak, sistem penyampaian kerajaan, semuanya terletak di atas bahu penjawat awam.

“Bukan kecil peranan dan tanggungjawab para penjawat awam, dari yang serendah-rendah jawatan hinggalah ke peringkat pengurusan, semuanya mempunyai tanggungjawab dan peranan yang telah ditetapkan,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan berusaha melakukan pelbagai penambahbaikan dalam perkhidmatan awam Sabah dengan penekanan kepada aspek pengukuhan nilai integriti. – HELLO MALAYSIA

Menarik Seterunya

Berita Terkini