Kenaikan gaji: Humban Ahli Parlimen yang bantah – Anwar

AHLI Parlimen kerajaan yang tidak menyokong kenaikan gaji penjawat awam akan disingkir daripada bertanding Pilihan Raya Umum akan datang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan, jaminan kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkannya semalam akan diluluskan di Parlimen ‘secara bergaya’ pada pembentangan Belanjawan 2025, Oktober ini.

Malah, katanya, ianya turut berharap agar dapat dilaksanakan pada 1 Disember depan, lapor MalaysiaGazette.

“Penjawat awam umumnya sambut dengan baik tetapi kita tak boleh halang beberapa kenyataan yang hambar, ada kata ini pengumuman Anwar untuk laksana 1 Disember, mana tahu kalau Parlimen tak luluskan.

“Saya nak tahu siapa, ahli Parlimen mana yang nak bantah kenaikan ini, kalau betul dia bantah, kita humban dia dalam pilihan raya akan datang,” katanya yang mendedahkan semua parti komponen dalam Kerajaan MADANI termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi sokongan penuh terhadap kenaikan itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai Murni dan Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalannya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Anwar berkata, beliau ada mendengar kritikan hambar kononnya kenaikan terbabit bukan yang tertinggi sedangkan kerajaan sudah membuat perkiraan yang sewajarnya.

Beliau tidak mahu membuat pengumuman secara terperinci kerana perlu mengikut proses ditetapkan.

“Jadi saya nak sebut sabar dulu, jangan sombong dan angkuh, jangan dengki, dia dengki kerana apabila ada pengumuman baik, orang sambut baik, dia mesti akan cuba berhujah untuk mencemuhkan.

“Saya nak beritahu saudara, kalau kita tengok perincian keputusan ini sebenarnya, bagi kategori rendah, kenaikan itu antara 20 hingga hampir mencecah 40 peratus bagi kebanyakan penjawat awam.

Perdana Menteri turut menafikan pengumuman berkaitan kenaikan gaji penjawat awam itu disebabkan oleh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

“Jadi saya harap jangan dengar, dia (pihak lawan) guna (pengumuman kenaikan gaji) ini (untuk) PRK Kuala Kubu Bharu, tak ada kena mengena, kita buat keputusan itu awal tahun sebelum bekas ADUN itu meninggal dunia,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, perincian berhubung kenaikan gaji penjawat awam akan dibuat pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) manakala secara lengkap pada pembentangan Belanjawan 2025.

Perdana Menteri ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Pekerja semalam mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula 1 Disember depan. -HELLO MALAYSIA

Menarik Seterunya

Berita Terkini