Butiran kenaikan gaji penjawat awam dibentang dalam Bajet 2025

MAKLUMAT lanjut mengenai pembiayaan peruntukan RM10 bilion bagi kenaikan lebih 13 peratus gaji penjawat awam mulai 1 Disember depan akan dibentangkan dalam Belanjawan 2025. 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata urusan kenaikan gaji itu adalah di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan cara peruntukan itu dibiayai akan dijelaskan dalam belanjawan nanti. 

“Kenaikan gaji (penjawat awam) kena tanya Perdana Menteri sebab ia di bawah urusan Perdana Menteri,” katanya memetik BH Online 

Beliau ditemui pada program INTAN Minister’s Conversation (IMC) 2024 anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di ibu negara hari ini. 

Rafizi ditanya mengenai cara peruntukan RM10 bilion bagi kenaikan lebih 13 peratus gaji penjawat awam dibiayai. 

Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus, iaitu kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember depan. 

Pelarasan gaji penjawat awam itu akan membabitkan peruntukan lebih RM10 bilion berikutan jumlah kenaikan besar dalam sejarah negara. 

Perdana Menteri menjelaskan dengan pelarasan itu nanti, pendapatan minimum penjawat awam merangkumi gaji dan elaun tetap, perlu melebihi RM2,000 sebulan. – HELLO MALAYSIA

Menarik Seterunya

Berita Terkini