Anwar tidak mahu Kelantan ketinggalan, 2 bulan noktah miskin tegar

DUA bulan tempoh yang diminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan miskin tegar di Kelantan.

Beliau menegaskan, agensi kerajaan pusat dan negeri dikerah bagi memastikan miskin tegar di Kelantan dapat dibasmikan dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, ketika ini terdapat kira-kira 1,000 ketua isi rumah (KIR) dalam kategori miskin tegar.

“Saya minta senarai termasuk dalam kategori miskin tegar dan lebih 1,000 KIR dalam kategori ini. Saya beri tempoh dua bulan untuk menoktahkan perkara itu.

“Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Datuk Azman Ibrahim) kata boleh selesai dalam masa dua bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri di perkarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), malam tadi.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu Kelantan ketinggalan berbanding Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Johor yang dapat menoktahkan kemiskinan tegar bulan ini.

“Juga keperluan untuk membina pusat perniagaan bagi tujuan itu (noktah miskin tegar),” katanya. –HELLO MALAYSIA

Menarik Seterunya

Berita Terkini